Rakan baik kepada jurugambar dikenali sebagai Aqo Imran yang memukul duo pereka fesyen, Razman dan Razmi iaitu pengacara Haris Annuar mengakui terkejut dengan insiden yang berlaku pada Rabu.
Rakan yang baik
Mengakui cukup mengenali antara satu sama lain, Haris, 33, berkata, Aqo seorang rakan yang baik dan tidak pernah meninggalkan solat.
Saya tak tahu cerita sebenar, tahu selepas ada yang maklumkan kepada saya. Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana mengenali dia, dia bukan jenis begitu (bersikap ganas).
Mungkin dia sudah pendam lama. Sepanjang tiga tahun kami duduk serumah sewaktu PKP, dia seorang yang baik dan tak pernah buat hal.
Dia juga solat cukup. Berkemungkinan disebabkab terlalu geram, jadi dia lepaskan. Saya kenal dia luar dalam.
Haris berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada Jumaat.
Tak kongsi masalah
Tambah peserta Hero Remaja 2017/2018 itu lagi, Aqo tidak pernah berkongsi mengenai sebarang masalah termasuk isu hutang kepadanya sepanjang hampir 10 tahun berkawan.
Berkenaan isu hutang dia tidak pernah kongsi kepada saya, termasuk isu kereta. Saya tahu pun selepas baca berita dan video berita mengenai kes dia semalam (Khamis). Saya tak jangka insiden itu akan berlaku.
Dalam pada itu, Haris turut menitipkan doa kepada Aqo agar segala urusan dipermudahkan.
Saya mendoakan yang terbaik kepada dia dan berharap tiada benda buruk berlaku kepadanya. Kami tahu luar dalam masing-masing.
Terdahulu, duo pereka fesyen Razman dan Razmi dipukul hingga cedera di bahagian muka oleh seorang jurugambar di sebuah majlis yang berlangsung di Petaling Jaya, pada Rabu.
Difahamkan, insiden tersebut tercutus susulan isu hutang berjumlah RM20,000 melibatkan sebuah kereta jenis Suzuki Swift pada 2019.
Mereka berdua kemudian tampil membuat laporan Balai Polis Mutiara Damansara dan jurugambar berkenaan telahpun ditahan pihak berkuasa.