Keputusan Marissa Dania, anak kepada Abby Abadi, untuk berkahwin secara senyap dengan Ahmad Aslam, yang masih lagi berstatus sebagai suami orang, telah mengejutkan ramai pihak.
Walaupun kontroversi ini telah lama menjadi perbualan hangat, Abby Abadi, atau Arbaiyah Abdul Manan, ibu Marissa, mengambil pendekatan yang tenang dan berserah kepada takdir.
“Kalau rasa perlukan mama, baliklah.”
Demikian luahan pelakon Abby Abadi terhadap anak perempuannya, Marissa Dania yang didakwa sudah lama tidak ditemui selepas dikatakan bergelar isteri kedua kepada Ahmad Aslam.
Dalam masa sama, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada Allah, selain mengharapkan yang terbaik buat puterinya.
“Saya jumpa dia semasa majlis reviu buka puasa dan selepas itu memang susah duduk dengan dia. Dia lari dan hilangkan diri, tetapi saya tahu dia selamat di luar sana.
“Dia mampu berdiri atas kaki sendiri, saya memang serahkan kepada Allah. Saya rasa sekarang memang tidak mampu buat apa-apa untuk ubah apa yang dia buat sekarang.
“Saya cuma harapkan yang terbaik. Jaga diri dan kalau rasa perlukan mama, baliklah,” katanya dalam sesi podcast yang dikendalikan pelakon, Datin Rebecca Nur Al-Islam, baru-baru ini.
Semalam, selepas hampir dua bulan mengunci mulut, Marissa akhirnya tampil memenuhi sesi fotografi bersama suami, Aslam untuk sebuah jenama pakaian lokal secara terbuka.
Menerusi video yang tular, Marissa, 20, tampil berpakaian sedondon berona hitam bersama Aslam yang dipercayai bertindak sebagai model jenama pakaian sama bagi keluaran hari raya Aidilfitri tahun ini.
Paling mencuri perhatian, Marissa juga tidak kekok membetulkan butang baju milik Aslam selain mesra digandingkan bersama.