Selepas dikecam hebat minggu lalu gara-gara nyanyiannya yang dianggap sumbang, Fazura nampaknya telah berjaya menebus kembali imej nyanyiannya di mata netizen.
Satu video nyanyian terbarunya yang dikongsi bersama penyanyi Indonesia, Kalya Islamadina, kini menjadi bualan hangat di media sosial. Kali ini, Fazura memilih lagu “Make You Feel My Love” yang asalnya dipopularkan oleh Adele, dan nyanyiannya memang tidak mengecewakan.
Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana nyanyian Fazura sebelum ini mencetuskan gelombang kecaman, terutamanya selepas tampil dalam sebuah program hiburan di Indonesia dengan lagu “Bertahan Demi Cinta”.
Suaranya ketika itu dikritik hebat oleh netizen, yang tidak dapat menahan telinga mereka daripada “tergangu” dengan setiap not yang dilantunkannya. Namun, nampaknya Fazura tidak patah semangat dan terus berkarya, bahkan kali ini, dia membuktikan bahawa dia juga mampu memikat hati orang ramai dengan lagu bahasa Inggeris.
“Sedap suaranya menyanyi lagu bahasa Inggeris,” komen seorang netizen yang jelas terpesona dengan kelunakan vokalnya kali ini. Seorang lagi netizen berpendapat, mungkin Fazura memang lebih sesuai dan kuat dalam lagu-lagu berbahasa Inggeris. Memang betul, kadang-kadang kita kena cuba dulu baru tahu, bukan?
Tidak hanya netizen yang memberi pujian, rakan-rakan selebriti juga turut memberi sokongan. Puteri Sarah Liyana, Azza Elite, Dr. Malar, dan Muhammad Sajat, semua memberi komen positif dalam bentuk emoji hati, seolah-olah memberi isyarat
“Kita sokong Fazura!” Pengarah Along Kamaluddin pula mengingatkan bahawa kegagalan bukanlah penamat, dengan komen menyatakan, “Itu sebab saya cakap beri peluang. Gagal sekali tidak semestinya gagal selamanya. Go Faz.”
Sungguhpun begitu, apa yang pasti, pengalaman pahit yang dilalui Fazura minggu lalu tidak menghentikan langkahnya untuk terus berusaha dan memperbaiki diri.
Dan nampaknya, dengan langkah terbaru ini, Fazura telah membuktikan bahawa dia bukan hanya seorang pelakon berbakat, tetapi juga seorang penyanyi yang mampu mengalunkan lagu dengan penuh penghayatan.
Teruskan sahaja, Fazura, jangan peduli dengan kecaman, kerana dunia hiburan ini memang penuh dengan asam garamnya. Selagi ada usaha, pasti ada kejayaan!