Pelakon berpengalaman, Kartina Aziz berasa sangat terharu kerana watak yang dilakonkannya menerusi filem Mami Jarum masih mendapat sambutan dan menjadi buah mulut peminat selepas hampir 22 tahun ditayangkan.
Terharu masih menjadi sebutan
Ketika ditemui , Kartina yang lebih mesra disapa ‘Mama’ itu memaklumkan sehingga ke hari ini, rata-rata peminat masih lagi memintanya untuk melakonkan semula karakter tersebut setiap kali dirinya melakukan sesi siaran langsung di TikTok.
Ada juga yang minta mama buat semula karakter Mami Zarina waktu sesi siaran langsung di TikTok dulu, tetapi mama rasa ada lagi ramai yang buat parodi lebih bagus daripada mama.
Kartina berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis ‘Dari Poket Artis Ke Poket Artis’ yang diadakan di kediaman Zamarul Hisham yang terletak di Shah Alam, baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, pelakon berusia 69 tahun itu berpendapat tidak sesuai untuk melakukan semula karakter tersebut memandangkan usianya sudah berusia.
Mama ada ja akaun TikTok tapi tak aktif sangat sebab takut tak boleh nak fokus. Pada mama kalau ada akaun TikTok ini, kita nak kena beri komitmen yang lebih pada konten.
Mama risau tak terbuat ja kerja nanti dan dalam masa sama, mama rasa di usia yang sebegini agak kurang sesuai untuk buat begitu.
Umur seperti mama ini nak bersaing dengan yang comel-comel, rasanya tak apalah kot, kita jadi penonton sajalah.
Sekadar info, filem Mami Jarum lakonan Kartina itu merupakan antara filem yang pernah menjadi fenomena di awal tahun 2000-an dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta.
Selain Kartina, filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain seperti Rita Rudaini, Allahyarham Ismail Din, Norlia Ghani dan ramai lagi.