Selepas terpalit dengan kes ditangkap berkhalwat, apa sahaja yang dikongsikan oleh pelakon sensasi Ruhainies di media sosial miliknya pasti menyorot perhatian wargamaya.
‘Pasti menang’
Terbaharu, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas memuat naik nota ringkas di Instagram Notes dengan menyebut “the truth will prevail”.
Jika diterjemahkan, nota tersebut membawa maksud “kebenaran pasti akan menang”.
Selain itu, aktres berkenaan turut menggunakan lagu berjudul ‘Stolen’ nyanyian penyanyi antarabangsa Jay Sean sebagai muzik latar.
Bagaimanapun, maksud sebenar yang ingin disampaikan dan kepada pihak mana yang ingin ditujukan tidak diketahui.
Imbas semula, pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan Wilayah (Jawi) di sebuah kondominium mewah yang terletak di ibu kota.
Rentetan kejadian tersebut, isteri kepada Aliff iaitu Bella Astillah mengambil keputusan memfailkan cerai terhadap suaminya secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun aktor itu enggan menceraikannya.
Tidak terhenti di situ, kemelut antara mereka bertambah rumit apabila tiba-tiba muncul seorang wanita bernama Sarah Yasmine yang mengaku kekasih Aliff dan mendakwa sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.
Lebih mengejutkan lagi, wanita tersebut turut mendedahkan beberapa tangkapan skrin layar perbualan antara Aliff dan Ruhainies dalam rancangan mereka untuk menjatuhkan Bella.
Tidak lama kemudian, Ruhainies menerusi muat naik di Instagram membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella dan ingin menamatkan sengketa antara mereka.
Selepas itu, Aliff pula muncul dalam sebuah podcast The Common Folks SG dengan menceritakan kronologi yang berlaku membabitkan beberapa pihak termasuk Bella, Ruhainies, Sarah Yasmine dan Muaz Zabir.