Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad menyatakan dia sudah menarik balik atau âtake outâ video cium batu Hajar Aswad dari Instagram (IG) selepas teruk dikecam warganet.
Dah minta pendapat orang
Menurut Hafiz, dia sudah meminta pandangan daripada beberapa orang individu sebelum dikongsikan di media sosial dan menerima komen yang positif.
Semalam sebelum saya kongsi video itu, sebenarnya saya dah minta pendapat beberapa orang dan alhamdulillah pendapat mereka positif.
Dan bila saya kongsi video itu, sejam.. dua jam yang pertama itu masya-Allah saya dapat DM yang positif.
Ada yang tengok Ya Allah teringinnya nak pergi. Ya Allah rupanya situasi dia macam ini. Kena prepare diri daripada sekarang, fizikal dan mental.
Ada pendapat-pendapat juga yang saya tanya semalam semuanya cakap bermula dengan niat.
7 kali dijemput ke rumah Allah
Kata Hafiz, ini adalah kali pertama dia berkongsi video seperti itu selepas lebih tujuh kali dijemput ke rumah Allah.
Jelasnya, dia hanya ingin menjadikan kenangan serta mewujudkan keberanian kepada umat Islam yang akan berkunjung ke Tanah Suci Makkah satu hari nanti.
Jadi niat saya sebenarnya bila saya kongsi perkara itu yang pertama adalah saya bagitahu ini bukanlah kerana untuk riak ataupun takbur tapi alhamdulillah Allah jemput ke sini lebih daripada 7 kali. Setiap tahun saya akan bawa staf saya.
Saya akan pesan dekat staf sebelum berangkat ke bumi Allah untuk cuba manfaatkan (waktu di sana). Cuba cium batu Hajar Aswad, cuba solat di depan Kaabah walaupun keadaan dia sukar.
Saya tak nak mereka nanti bila pergi dan balik dia rasa ralat. Setiap tahun saya bawa team, dua atau tiga hari pertama di Makkah, kerja saya dah macam mutawif. Alhamdulillah team kat sini semua dapat cium Hajar Aswad.
Selama 7 tahun saya ke sini, saya tak pernah lagi saya kongsi video semalam. Saya mula-mula rasa video itu untuk saya jadikan kenangan dan boleh wujudkan keberanian juga kepada sahabat-sahabat saya untuk datang ke sini.
Maksudnya bila saya sampaikan video semalam, mereka dah prepare.. ada cabaran dalam beribadah.
Saya tolong team bukan nak jadi hero tapi harapnya benda itu boleh dicontohi oleh team saya juga. Kalau awak tengok video saya semalam, saya tahu mana nak masuk dan masuk cara tidak menyakitkan.
Yang saya dekat atas, bukan saya marah-marah. Jangan takut untuk mencuba walaupun perkara itu sunat.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata ini memohon maaf sekiranya video itu telah mengundang pelbagai persepsi sehinggakan mengundang kritikan.
Maafkan saya jika video yang saya kata kenangan itu mewujudkan banyak persepsi kepada sahabat-sahabat semua.
Sebelum ini, Hafiz mendedahkan bahawa pekerjanya teringin untuk mencium batu suci Hajar Aswad yang terletak di salah satu penjuru Kaabah.
Hafiz dan stafnya berdepan dengan cabaran perlu berhimpit dengan jemaah lain yang juga ingin mencium batu suci tersebut.
Pencipta kandungan berusia 31 tahun kemudiannya mengambil keputusan untuk bergelut sehinggakan kain ihram yang membaluti badannya tertanggal dan akhirnya mereka berjaya.