Baru-baru ini, misi rakyat Malaysia untuk memboikot produk Israel telah kembali semula. Mereka percaya bahawa senarai nama-nama produk dan syarikat, termasuk McDonald’s, dikatakan telah ‘menyalurkan’ wang kepada rejim Zionis di Israel.
Sumbangannya sebanyak RM1 juta
Langkah ini adalah selaras dengan hasrat murni kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Usul Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini.
Lantaran itu, McDonald’s Malaysia berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan ini dengan harapan supaya membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi masa yang sukar.
Sumbangan McDonald’s Malaysia ke Dana Kemanusiaan Palestin ini akan secara langsung menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza. Ia memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas akibat konflik tersebut.
Bantuan ini meliputi perubatan, makanan, tempat tinggal, dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.
“Komitmen kami tertumpu sepenuhnya kepada menyediakan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan.
Kami yakin semangat kerjasama dapat membantu dalam masa yang genting ini.
Selain sumbangan ini, McDonald’s Malaysia juga menggalakkan pekerja-pekerja dari seluruh negara untuk menyertai usaha pengumpulan dana. Mereka berharap usaha ini akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terkesan di Gaza.
Tidak akan berhenti menyerang Semenanjung Gaza
Perkembangan terkini menurut Utusan Malaysia, Menteri Risikan Israel, Gila Gamliel menegaskan kerajaan Israel tidak akan berhenti menyerang Semenanjung Gaza sehingga kumpulan pejuang Hamas meninggalkan wilayah itu.
Bercakap dalam program Newshour terbitan BBC World Service, Gamliel berkata, tindakan Israel menyerang kawasan Palestin adalah sebagai pertahanan dan menjaga keselamatan penduduk Israel.