Pernah dikecewakan dan putus cinta suatu masa dahulu, pelakon dan pengacara, Tash Yong sedar bahawa percaturan Allah buat dirinya pada waktu ini sangat baik.
Hadiah terindah buat kami
Menerusi laporan Harian Metro, Tash Yong berkata, dia tidak menyangka sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki zuriat sendiri. Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli, selamat melahirkan cahaya mata lelaki sulung pada 15 Julai lalu, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Khaireel Azlee Abdul Aziz atau lebih dikenali, Boss Kay.
Alhamdulillah, selepas bergelar isteri kira-kira setahun lalu, sekarang kehidupan saya sudah lengkap apabila diberi rezeki jadi ibu kepada bayi lelaki kami, Kay Ayden yang dilahirkan secara normal di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.
Saya lahirkan Kay Ayden jam 6.03 petang dengan beratnya, 3.8 kilogram (kg) yang turut sama ditemani suami di bilik bersalin. Satu pengalaman yang mencabar, tapi segala sakit itu hilang selepas menatap wajah comelnya (Kay Ayden).
Ujar Tash, dia mengalami ‘contraction’ selama lapan jam sebelum melahirkan bayinya itu.
Apa yang penting dan utama pada saya sekarang, Allah sudah hadiahkan anugerah terindah ini buat kami. Ia sangat istimewa dan harapan saya agar dapat menjaga serta membesarkan Kay Ayden dengan baik dan penuh kasih sayang.
Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami sekeluarga. Semoga yang baik-baik juga Allah berikan kepada kalian,” katanya memaklumkan berpantang sendiri di rumah dengan dijaga ibu mentua serta penjaga pantang.