Bekas madu kepada pelakon Miera Liyana iaitu Adibah Abd Mutalib mampu menarik nafas lega apabila tuntutan nusyuz dibuat oleh bekas suami, Rosland Othman ditolak mahkamah.
Sabitan nusyuz ditolak
Menerusi laporan Mstar, peguam yang mewakili Adibah iaitu Mohd Junid Ramli memberitahu Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin membuat keputusan tersebut selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Alhamdulillah memihak pada Adibah, maknanya sabitan nusyuz oleh pihak plaintif ditolak. Bila sudah ditolak ini membuktikan Adibah bukan isteri derhaka seperti didakwa plaintif.
Menurut Adibah, dia berasa lega dan bersyukur sebaik sahaja mendengar keputusan itu. Tambahnya, keputusan tersebut secara tidak langsung membuktikan dia tidak pernah derhaka terhadap bekas suami.
Alhamdulillah terbukti saya tidak nusyuz, hakim kata sebab tiada usaha daripada pihak plaintif untuk isu kembali taat, itu yang saya ingat.
Semoga Allah permudahkan semua tuntutan saya selepas ini sebab saya yakin berada di pihak yang benar. Saya cuma mahu tuntut hak saya, tiada niat nak malukan sesiapa.
Sangat gembira dan puas hati dengan keputusan hakim. Selepas ini saya boleh move on dan fokus pada tuntutan lain yang belum selesai iaitu hadanah dan tuntutan nafkah.
Dengan pengumuman keputusan mahkamah ini, saya harap tanggapan masyarakat terhadap saya berbeza dan nama saya juga sudah bersih daripada dakwaan tersebut.