Amat diketahui bahawa keadaan banjir di Negeri-Negeri pantai Timur semakin teruk. Kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menyediakan tiga helikopter untuk membantu dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Pantai Timur susulan keadaan yang semakin teruk.
Walau bagaimanapun, pihak polis menafikan dakwaan orang ramai yang menyebut keadaan di Negeri Kelantan semakin teruk susulan banjir teruk di Pasir Mas dan Rantau Panjang pada masa kini.
Berdasarkan laporan dari Kosmo, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintandan Nik Aminuddin Raja Abdullah menyatakan bahawa bencana kali ini tidak seburuk seperti kejadian sebelum ini.
Beliau menyatakan bahawa sehingga kini, sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan seramai 7,698 orang.
“Banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang sebelum ini pernah melibatkan 11,000 mangsa yang ditempatkan di 40 buah PPS,” katanya.
“Jadi, orang ramai diingatkan agar tidak memberi gambaran yang salah mengenai situasi banjir pada masa ini. Sebarang pertanyaan boleh disampaikan kepada pihak polis,” katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek hari ini.
Nik Aminuddin juga menyatakan bahawa operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir masih diteruskan oleh anggota bomba, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Beliau menambah bahawa paras air masih dalam keadaan mendatar dengan Sungai Golok masih berada pada paras 11.04 meter.