Dua helikopter dilaporkan terhempas selepas bertembung ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM, Lumut pada Selasa.
Helikopter terhempas
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian nahas itu berlaku ketika kedua-dua helikopter itu sedang menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei ini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kejadian berlaku.
Memetik laporan Harian Metro, seramai 10 mangsa yang terlibat dilaporkan meninggal dunia. Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.
Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.
Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat di media sosial yang memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-duanya kelihatan terjunam ke darat.
Dalam video sama, kelihatan terdapat serpihan helikopter jatuh ke dataran berhampiran lokasi ratusan anggota TLDM lain sedang melakukan latihan perbarisan.