Pempengaruh media sosial yang kini bermastautin di Korea Selatan iaitu Kim Seri membuat permohonan maaf susulan dakwaan dirinya menipu pelanggan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM400,000.
Kim Seri mohon maaf
Menerusi hantaran di Instagram Story, Kim Seri atau nama lengkapnya Seri Azlina membuat permohonan maaf atas segala kesulitan yang berlaku berpunca daripada pihaknya.
Tambah Seri, dia berharap orang ramai memahami keadaan yang dihadapinya ketika ini dan memaklumkan bahawa dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan jumlah yang tertunggak sebelum atau pada 1 Februari 2025.
Saya menulis kenyataan ini memaklumkan kepada semua pelanggan yang saya hormati, pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan. Saya sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini.
Namun begitu, saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.
Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025.
Akan beri butiran dokumen
View this post on Instagram
Dalam pada itu, Seri juga berjanji akan memberikan sebarang butiran dokumen kepada pelanggan yang terjejas sewaktu menggunakan perkhidmatannya pada hari ini.
Saya berjanji akan memikul tanggungjawab sehingga akhir dan memohon kerjasama serta kefahaman anda semua.
Dokumen penyelesaian untuk para pelanggan berdasarkan perkara di atas akan diberikan esok (hari ini) kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini.
Terdahulu, tular beberapa video dan hantaran dimuat naik beberapa individu di media sosial yang dipercayai menjadi ‘mangsa’ kepada pakej pelancongan yang ditawarkan Kim Seri.
Difahamkan, individu tersebut telah berdepan dengan pelbagai masalah sepanjang trip percutian ke Korea Selatan dan masalah itu mula timbul sejak mereka masih berada di Malaysia.