Pelakon Aprena Menrose akui agak terkilan kerana usahanya bersama suami, Mohd Afiq Hazaman untuk memiliki zuriat masih belum membuahkan hasil walaupun sudah lapan tahun menanti.
‘Saya lebih kepada reda dan pasrah’
Ketika ditemui di sidang media drama Ramadan Raya TV3 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis, Aprena akui telah melakukan pelbagai usaha namun kini dia berada di dalam fasa reda dengan ketentuan Tuhan SWT.
Sebenarnya sekarang ni saya lebih kepada reda dan pasrah, tak ada pun tak apa  tapi tak berputus asa cuma saya dah ada di fasa mana kalau tak ada tak apalah mungkin Allah nak bagi rezeki dekat akhirat sana.
Bercerita dengan lebih lanjut, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia pernah ‘berehat’ daripada berlakon hanya kerana mahu melakukan rawatan termasuklah rawatan Islam, Intrauterine insemination (IUI) dan In vitro fertilisation (IVF). Namun, tiada satu pun rawatan yang berjaya.
Saya pergi buat rawatan Islam, IUI kemudian IVF. Semasa buat rawatan IVF, saya terima beberapa tawaran watak utama tapi saya memang terpaksa berkorban.
Saya tahu kalau buat rawatan IVF, kita tidak digalakkan untuk bergerak. Saya memang ikut nasihat doktor dan sepanjang dua minggu memang saya duduk di rumah sahaja.
Bila teruja untuk pergi buat pemeriksaan, doktor maklumkan keputusannya gagal. Saya dan suami pandang satu sama lain. Balik rumah, kami tutup telefon dan tidur. Mungkin kerana terlalu kecewa ketika itu.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi dangdut terkenal Iwan Syahwan meluahkan rasa syukur kerana orang terdekat mampu memahami dan menghormati sensitivitinya terhadap soal zuriat.
Sekadar info, Aprena bersama Izzue Islam, Zara Zya, Rania Amanda dan Raden Zaharatul bakal tampil menerusi drama berjudul Helo, Saya Anak Uncle! akan ditayangkan mula 17 Mac setiap Ahad di TV3 dan aplikasi Tonton.