Tidak dapat disangkal bahawa semua mata tertumpu kepada pasangan diraja Brunei; lebih-lebih lagi YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah ketika majlis persandingan mereka pada 14 Januari 2024 baru-baru ini.
Isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Pengiran Muda Abdul Mateen ini sangat menyerlah dalam gaun putih potongan A-line. Penampilannya itu dilengkapkan dengan pelbagai aksesori seperti cincin berlian yang besar, rantai, gelang dan anting-anting yang menarik perhatian orang ramai.
Begitu juga dengan tiara berlian di atas kepalanya. Psst… Kalau kamu nak tahu tiara yang dikenakan oleh YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah itu ada kisahnya. Nak tahu, scroll dan baca di bawah;
Tiara Berlian Khas Dari Singapura
Dipetik daripada Tatler, tiara berlian yang dipakai oleh YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah itu merupakan tiara kepada kakakand DYTM Pengiran Muda Abdul Mateen iaitu Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah.
Tiara tersebut pertama kali dipakai oleh Puteri Azemah ketika majlis perkahwinannya pada Januari 2023 dan dipinjamkan kepada YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah untuk majlis perkahwinannya.
Sekadar info, tiara itu dibuat khas daripada pengeluar barang kemas mewah dari Singapura iaitu Flower Diamond yang diasaskan oleh Belinda Chua. Jenama ini sangat mementingkan keanggunan klasik dan sentuhan kotemporari.
Tiara berlian ini disiapkan dalam masa lapan bulan, bermula daripada proses reka bentuk hingga mendapatkan berlian dan menyiapkan dengan teliti. Tiara ini terdiri daripada 838 berlian dalam pelbagai potongan seperti round brilliant, square-shaped, pear-shaped dan oval-shaped.