Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan penuh bangganya mengajak seluruh rakyat Malaysia menyaksikan telefilem bertajuk “Selampai Labung” yang diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM (UDTV RTM) khas sempena sambutan Hari Malaysia 2024 diraikan pada 14 September depan.
Dibarisi Barisan Pelakon Hebat
Disiarkan mengisi slot Panggung RTM pada 14 September ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1 dan RTMKlik, karya arahan Danny Alamsyah, UDTV RTM ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As’ari, Dewi Seriestha, Samarinna Tolhip, Wily Alfred, Tony Eusoff, dan Sherie Merlis.
Memilih lokasi di Negeri Bumi Kenyalang, Sarawak, penggambaran telefilem ini telah berlangsung pada 16 hingga 31 Julai lalu.
Menariknya kerana telefilem ini mengajak penonton mengenali warisan pua kumbu, seni tenunan tekstil istimewa masyarakat Iban yang dikekalkan sehingga kini.
Kisah Warisan Pua Kumbu
Cerita Selampai Lambung berkembang tentang Elvina dan Sunan, dua insan dengan latar berbeza yang bertembung kerana terikatnya mereka dengan warisan, budi, dan harapan.
Elvina merupakan waris Enny, Indu Ngar di Nanga Krau yang telah meninggalkan rumah panjang itu berbelas tahun lamanya. Kepulangannya ke Nanga Krau adalah demi menyahut kepentingan peribadinya.
Namun pertertemuannya dengan Sunan, Jara dan Gawin membuka lembaran sejarah silam keluarganya dan masa depan tradisi Pua Kumbu yang semakin pupus ditelan zaman. Lalu apakah kesudahannya?
Majlis pratonton telefilem “Selampai Labung” telah diadakan bertempat di Theatrette, Tingkat 1, Wisma TV Angkasapuri Kota Media, baru-baru ini.