Pelakon Kodi Rasheed mendedahkan sudah lebih sepuluh kali ditipu penerbit yang pada mulanya menawarkan tawaran berlakon, namun secara tiba-tiba menghilangkan diri.
Ditipu penerbit?
Ibarat janji palsu, Kodi berkata, rakannya yang bertugas sebagai pengurus produksi memaklumkan perkara tersebut terjadi kerana penerbit enggan mengambilnya berlakon meskipun sudah ada persetujuan yang dibuat.
Saya sudah dah banyak kali kena, lebih 10 kali ada. Penerbit beri tawaran berlakon dan saya pun dah setuju. Lepas itu, mereka tak jadi ambil, terus MIA (missing in action), senyap terus.
Tahu-tahu dah shooting. Saya pelik dan tanya apa masalahnya. Banyak kali saya diam, cuma waktu itu mereka salahkan stesen TV. Tapi saya dapat tahu penerbit yang tak nak ambil saya.
Kalau kau tak nak, kenapa kau offer dari awal. Kebetulan PM (pengurus produksi) kawan-kawan saya juga, jadi saya bertanyakan kepada mereka.
Mereka yang beritahu sebenarnya nama saya dah lulus dekat stesen TV tapi penerbit yang tak jadi ambil.
Kodi berkata demikian ketika ditemui di di sesi temu bual bersama pelakon drama Salju Di Bumi Auckland yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, pada Rabu.
Rezeki dari Allah
Menganggap diri bukan seorang ‘kaki kipas’, Kodi bagaimanapun hanya bersangka baik dan percaya rezeki bukan datang dari manusia tetapi Allah.
Bagi saya, kalau tak nak kenapa penerbit hubungi saya untuk tawarkan ‘job’ itu. Saya bukan seorang yang ‘kaki kipas’ atau pandai ambil hati sesiapa.
Saya tak peduli fasal itu sebab anggap rezeki saya bukan di tangan mereka. Rezeki saya daripada Allah.
Mengakui terkilan dengan kejadian tersebut, Kodi berkata, mungkin kejadian berulang kali terjadi disebabkan dia tidak pernah bersuara membuatkan mudah ‘dipijak’.
Saya bukan marah tapi lebih kepada kecewa, sebab dah banyak kali kena. Saya bukan jenis, kalau dah ‘lock’ terus minta 10 peratus daripada bayaran. Sebab fikir industri ini kecil sahaja.
Sebab itu saya hanya setuju dulu, nanti dalam masa tiga atau empat hari itu barulah bagitahu fasal skrip semua. Ikutkan skrip pun dah bagi, tapi tiba-tiba ‘bye-bye’.
Mungkin sebab sebelum ini saya jenis tak bersuara di laman sosial, tapi kali ini saya bersuara dan individu itu pun mungkin terasa sebab dia pun dah tak panggil saya dah.