Dua syarikat rakaman terkemuka Alternate Records dan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Universal Music Malaysia kini berkolaborasi menjadi rakan strategik pemasaran muzik tempatan.
Kolaborasi Alternate Records & Universal Music Malaysia
Kolabarasi yang terjalin antara Alternate Records dan Universal music Malaysia ini bakal membuka peluang baharu untuk artis-artis tempatan meluaskan pengaruh dan bakat muzik mereka di peringkat domestik, serantau dan global.
Kerjasama antara Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, bergabung tenaga dengan syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia yang tidak asing lagi dengan rangkaian artis ternama, meletakkan satu anjakan paradigma bagi memperkenalkan perubahan yang baharu dalam industri muzik tempatan bagi memenuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman yang berbeza.
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, pihaknya perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu.
Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya seperti Alternate Records adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan.
Ia juga merupakan satu langkah yang penting dalam mengembangkan lagi industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya yang kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian dalam industri muzik.
Tambah Kim Lim lagi, Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran masa kini.
Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia.
Antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama itu seperti Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo.
Sementara Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu Puan Shahila Shah Harun, meluahkan rasa syukur dan teruja dengan kolaborasi ini.
Kerjasama ini adalah satu langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu menembusi pasaran muzik.
Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis yang berbakat dan seharusnya kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia.
Kerjamasa yang terjalin ini memberikan sinergi unik, menjana keharmonian yang membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang. Selain menjadi terkenal, diminati dan dihormati di peringkat domestik, serantau dan global.