Umum mengetahui, beberapa konsert berskala besar melibatkan artis antarabangsa seperti Coldplay dan Blackpink telah dianjurkan dan berlangsung meriah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada tahun lalu.
Pulangan besar ekonomi
Memetik laporan Utusan TV, penganjuran dua buah konsert tersebut berjaya menjana pulangan ekonomi lebih ratusan juga ringgit kepada negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, konsert Blackpink telah membawa pulangan ekonomi bernilai RM64 juta, manakala konsert Coldplay pula RM130 juta.
Selain itu, konsert berkenaan turut memberi sumbangan menerusi percukaian di mana Blackpink dan Coldplay masing-masing menyumbang RM2.7 juta serta RM8 juta kepada kerajaan.
Ini bermaksud pulangan hasil bagi sebuah konsert bersamaan dengan lebih kurang penganjuran dua acara sukan.
Penganjuran acara konsert tidak hanya memberikan pulangan kepada perbadanan stadium malahan turut dinikmati pelbagai sektor seperti e-hailing, hotel, pengangkutan dan logistik.
Tambah Hannah, meskipun dua konsert berkenaan memberi impak besar kepada ekonomi, namun ia sama sekali tidak akan menjejaskan komitmen kementerian terhadap keutamaan memiliki padang bola yang baik.
Katanya lagi, perkara ini dapat dilihat melalui syarat ketat yang dikenakan ke atas penganjur sebelum sesuatu konsert boleh mengambil tempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah, tegas beliau, Kementerian Belia dan Sukan juga meletakkan tanggungjawab kos pemulihan padang di atas bahu penganjur konsert dan bukannya Perbadanan Sukan Malaysia (PSM).
Saya nak bagi keyakinan kepada semua bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan rumah kepada Harimau Malaya dan perlawanan mereka selalu mendapat perhatian dan fokus KBS.
Itu sebab selalunya kita melibatkan banyak mesyuarat dalam pastikan perlawanan boleh berlangsung untuk pastikan standard kita jaga