Rindu para peminat kumpulan muzik gergasi KRU bakal terubat apabila trio adik-beradik itu bakal membuat kemunculan semula menerusi satu kerjasama bersama syarikat gergasi muzik dan rakaman dunia, Sony Music Entertainment Malaysia.
Bercadang buat album & siri konsert jelajah
Menambah keterujaan peminat, KRU bakal mengeluarkan single serta album dan bercadang mahu mengadakan beberapa siri konsert jelajah buat para peminat setia mereka.
Menurut Datuk Norman Abdul Halim kemunculan semula ini dibuat bagi mengubat rindu para peminat yang ternanti-nantikan karya mereka sejak era 1990-an.
Sebenarnya kami tak anggap kemunculan ini sebagai ‘comeback’. Kami bertiga ada saja, cuma kurang aktif dalam industri kerana sibuk dengan komitmen masing-masing.
Namun, kami akui bahawa kami rindu untuk bersama macam dulu.
Jadi, kami harap dapat mengubat rindu peminat yang pastinya menantikan lagu-lagu balada kami yang evergreen, selain lagu rancak yang menjadi ‘trademark’ KRU.
Norman berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media KRU Signing Ceremony yang berlangsung di Aloft Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.
Akan kekalkan elemen muzik asal
Berkongsi mengenai konsep album yang bakal dikeluarkan, Norman memaklumkan KRU akan mengekalkan elemen muzik yang dibawa semasa era kegemilangan mereka satu ketika dahulu.
Namun, akan tetap menyelitkan elemen muzik yang sesuai dengan masa kini bagi menarik perhatian peminat baru, terutamanya golongan muda.
Saya yakin dengan kematangan kami dan pengetahuan dalam bidang muzik, album ini berpotensi menjadi yang terbaik daripada KRU.
Kami selesa dengan ‘sound’ yang sinonim dengan KRU sejak dahulu, dan bangga dengan identiti muzik kami.
Sekadar info, KRU yang mula ditubuhkan pada tahun 1992 merupakan salah sebuah kumpulan muzik terkemuka dalam industri muzik tempatan.
Antara lagu yang menjadi hit dan mendapat sambutan adalah seperti ‘Awas’, ‘Ooh! La! La! dan banyak lagi.