Pelakon dan penyanyi berbakat Korea Selatan, Lee Joon Gi, memukau peminatnya dengan suaranya yang merdu dalam konsert jelajah Asia di Malaysia yang diadakan di Mega Star Arena, pada ahad yang lalu.
Konsert 2024 Lee Joon Gi Asia Tour yang berlangsung selama tiga jam itu dihadiri kira-kira lebih 2,000 peminat, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari negara lain seperti Taiwan, Itali, dan Indonesia. Joon Gi mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu, termasuk lagu-lagu popular yang menjadi OST untuk drama Korea.
Konsert yang bermula pada pukul 6 petang itu diiringi oleh empat pemuzik dari Korea Selatan yang memeriahkan suasana dengan petikan gitar, hentakan dram, dan permainan keyboard sepanjang persembahan.
Persembahan dimulakan dengan lagu hitnya pada tahun 2016, Thank You, dan Joon Gi disambut dengan sorakan meriah daripada peminat sebaik sahaja muncul di atas pentas. Peminat bukan sahaja terpukau dengan vokalnya, tetapi juga terpesona dengan rupa kacak bintang yang berusia 42 tahun itu.
Selepas setiap persembahan, dia berinteraksi dengan peminat dengan berkata dalam Bahasa Melayu seperti, “Tolong dengar cakap saya” dan “Sedap tak?” merujuk kepada nyanyiannya. Di samping itu, Joon Gi turut menghiburkan peminat Malaysia dengan menyanyikan lagu rakyat Rasa Sayang mengikut gayanya yang tersendiri.
View this post on Instagram
Pelakon yang terkenal dengan wataknya dalam drama Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo itu turut menari dengan penuh tenaga, menyebabkan para penonton turut serta menyanyi dan menari bersamanya. Suasana menjadi lebih meriah apabila Joon Gi memenuhi permintaan peminat dengan mengambil lima selfie bersama mereka.
“You guys are so welcoming, I should come to Malaysia often… I usually only post pictures that people take on my social media,” katanya kepada para penonton.
Joon Gi juga meluangkan masa untuk membaca mesej yang dihantar oleh peminat melalui laman webnya, menunjukkan rasa terima kasihnya dan mendedahkan beberapa kandungan mesej yang menyentuh hati kepada penonton. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Now, Ma Lady, In My Heart, I’m Yours, Marry You, Dancing in the Moonlight, For Us, Standing Next To You, dan Together.
Apa-apa pun, terima kasih buat penganjur iaitu Lofi Entertainment kerana membawa Lee Joon Gi untuk bertemu dengan peminatnya di Malaysia. Semoga Lee Joon Gi memilih Malaysia lagi pada masa akan datang. Apa kata anda?