Mafidz, kugiran bergenre ‘folk-pop’ kini kembali dengan album baharu, ‘Teleportasi’ setelah enam tahun, sejak album sulung mereka diterbitkan pada tahun 2018 lalu.
Hasilkan Album Dengan 11 Lagu
Album ‘Teleportasi’ berisikan 11 lagu yang ditulis dan diproduksi sendiri oleh tiga bersaudara, Megat Hafidz, Megat Fazly dan Megat Aizzat.
‘Teleportasi’ menampilkan sisi baharu muzik Mafidz, di mana golongan pendengar dibawa dalam ‘mood’ yang bervariasi, berbeza berbanding album terdahulu.
Menerusi ‘Teleportasi’, Mafidz turut bereksperimen dengan genre alternatif-pop. ‘Teleportasi’ juga digarap dengan nafas baharu dengan kepelbagaian nada, di samping bereksperimen dengan instrumen yang dimiliki oleh kumpulan itu.
Perubahan paling ketara adalah dengan menampilkan penggunaan instrumen drum yang sebelum ini tidak digunakan sama sekali dalam album pertama.
Gandingan Bersama Salamusik Dan Otam
Album ‘Teleportasi’ juga turut memperlihatkan gandingan kugiran ini bersama Salammusik dan Otam menerusi lagu ‘Tenteram’ dan ‘Senandung’.
Mafidz menganggap kerjasama bersama kedua-dua pemuzik tanah air ini istimewa, selain bertepatan dengan usaha mereka dalam menyuntik kelainan dan nuansa baharu dalam album ini.
Bukan itu sahaja, Mafidz juga dalam perancangan untuk mengadakan showcase bagi album ‘Teleportasi’ dan tour ke seluruh Malaysia.
Jadi, mereka berharap dapat bertemu dengan para pendengar dan penyokong Mafidz dalam waktu terdekat ini.
Lancarkan Muzik Video Rasmi
Mafidz bakal melancarkan muzik video rasmi bagi single ketiga mereka dari album ‘Teleportasi’ yang berjudul ‘Kala Malam’ pada 1 Mac akan datang.
Muzik video tersebut menampilkan pelakon berbakat tanah air iaitu Sara Ali.
Sebelum rasmi melancarkan album kedua ini, Mafidz sempat mengeluarkan dua single iaitu lagu ‘Kayuh!’ dan ‘Lemas’ yang kini tersedia untuk didengar pada bila-bila masa di semua platform digital termasuk Spotify dan Apple Music.
Bermula 23 Februari 2024, bagi mendapatkan album ‘Teleportasi’ yang berharga RM 45, orang ramai boleh melakukan pesanan melalui platform Shopee (mafidzstore) atau menghubungi pihak pengurusan Mafidz menerusi akaun Instagram (@mafidz.store).