Perkembangan teknologi maklumat membolehkan kita melakukan hampir apa sahaja dengan satu klik pada telefon pintar, namun, dengan satu klik itu juga kita boleh kerugian ribuan ringgit dalam sekelip mata.
Setidak-tidaknya itulah yang berlaku kepada segelintir individu yang dilaporkan kehilangan wang daripada akaun simpanan mereka belakangan ini mahupun kehilangan akaun rasmi sosial media di mana dasawarsa ini ianya telah menjadi salah sebuah sumber pendapatan umum.
Tidak dapat disangkal, isu ini mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama tentang tahap keselamatan siber.
Baru-baru ini penyanyi, Ella Aminuddin menegaskan bahawa akaun Facebook miliknya benar-benar digodam dan bukan gimik yang direka semata-mata.
Ella bagaimanapun menjelaskan dia dan pasukan pengurusannya sudah membuat laporan polis di dua balai polis pada hari kejadian.
“Memang betul kena godam. Ia tak dirancang. Saya dah buat laporan polis di dua balai polis, satu di Sungai Buloh dan satu lagi di Shah Alam pada 27 Julai lalu.
“Jadi, saya menunggu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengenai perkara ini,” katanya.
Menurut Ella, insiden itu membawa kerugian kepada pihaknya yang menggunakan platform itu untuk mempromosikan produk serta acara berkaitan dirinya.
“Di platform itu, ada lebih 500,000 pengikut dan walaupun kami tak mengalami kerugian dari segi wang ringgit, namun, satu kerugian kerana platform itulah yang digunakan untuk saya promosikan produk serta acara seperti konsert.
“Saya rasa, platform media sosial adalah penting untuk kita semua kerana sekarang, ia menjadi platform untuk kerja, cari makan dan menyimpan data,” katanya.
Ella juga mencabar individu tidak bertanggungjawab atau penggodam (hacker) itu untuk hadir ke acara Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang akan berlangsung pada 28 Oktober 2023 di Spice Arena, Pulau Pinang.
“Saya cabar dia untuk datang ke konsert saya. Dia buat salah, jadi, saya tak takut,” katanya.
Credit: Selebriti – Murai MY