Mempertaruhkan lagu Terpaling Sahur sebagai debut pertamanya dalam industri muzik tanah air, Ain Zulaikha berkolaborasi bersama kumpulan vokal religi Major 9 sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan kali ini.
Graduan Seni Suara
Ain Zulaikha atau nama sebenarnya Nur Ain Zulaikha Binti Kamal merupakan graduan dalam bidang seni suara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam.
Beliau yang baru berjinak-jinak dalam industri muzik ini diinspirasikan oleh ayah dan ibunya yang merupakan pencinta muzik sejak remaja lagi.
Anak kelahiran Negeri Sembilan yang menetap di Selangor ini merupakan anak sulung dari adik beradiknya.
Ain Zulaikha yang kini sedang menyambung pelajarannya bercita-cita untuk menjadi seorang guru vokal.
Hanya Empat Ahli Kumpulan Sahaja
Major 9 yang dianggotai oleh enam anak muda iaitu Fikri, Thaufiq, Bukhari, Yusuf, Amir dan Zharif merupakan graduan dari pelbagai bidang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Namun untuk lagu ini, hanya empat sahaja ahli yang berkolaborasi iaitu Fikri, Thaufiq, Bukhari dan Zharif.
Major 9 merupakan sebuah kumpulan vokal religi yang mengetengahkan mesej positif dan ketuhanan dalam bentuk eksperimental.
Menggabungkan Genre R&B, Jazz dan Pop
Sedikit sinopsis lagu “Terpaling Sahur”. Lagu ini menggabungkan antara genre R&B, Jazz dan Pop.
Tambahan pula, Terpaling Sahur adalah sebuah lagu yang mengajak pendengar untuk bangun sahur dan meraikan ibadah puasa dengan sebaiknya.
Lagu ini sesuai untuk dijadikan runut bunyi atau penggera bunyi untuk pendengar bangun sahur.
Lagu Terpaling Sahur adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Fikri Aziz, gubahan muzik oleh Awwabin dan Amir Mansor.
Lirik Video boleh ditonton di saluran Youtube Neowise Studio. Juga distrim di semua pelantar digital muzik.