Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak berkompromi dalam soal tangkapan khalwat membabitkan pasangan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian yang berlaku di sebuah kondominium mewah, Sabtu lalu.
“Proses siasatan dilaksanakan sebagaimana kelaziman berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di Bahagian Penguatkuasaan JAWI.
“Setakat ini, JAWI dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan akan dipanjangkan ke Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kenyataan itu susulan timbul dakwaan yang mana JAWI seolah-olah melambatkan proses pendakwaan itu.
Malah, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat jika kes itu terlepas disebabkan pasangan itu adalah ‘public figure’.
Terdahulu, media tempatan melaporkan tangkapan dan serbuan khalwat yang dilakukan JAWI bukan gimik atau sesuatu tindakan untuk mempromosikan mana-mana pihak termasuk selebriti, sebaliknya ia dilakukan mengikut prosedur undang-undang yang sudah ditetapkan.
Mohd Na’im menegaskan perbuatan maksiat tetap maksiat dan ia sama sekali tidak boleh dipromosikan, selain berkhalwat juga adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Menurutnya, bahagian penguatkuasaan JAWI akan melakukan tindakan secara bebas dan adil berdasarkan aduan diterima selepas melakukan siasatan dan mendapati ia berlaku seperti dilaporkan serta akan melakukan tangkapan.