Sebelum ini, pelawak dan pelakon Man Raja Lawak mengakui dia kurang mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini.
Namun begitu, dia masih bersyukur kerana semuanya masih dapat diuruskan dengan baik dan kewangannya berada dalam lingkungan angka yang tidak terlalu merudum.
Mungkin jiwa mereka memberontak
Terbaru, Man memberitahu dia aktif menggunakan platform TikTok untuk mencari rezeki.
Untuk kerja mengacara, memang saya buat dan berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, pendapatan itu ada dan saya rasa ia tidak turun mendadak. Contohnya, kalau dulu pendapatan RM15,000, tak adalah sampai jatuh menjadi RM2,000.
Di media sosial sekarang, ada macam-macam kandungan yang dihasilkan pelbagai lapisan usia. Video yang beria-ia pembikinannya, kadang-kadang hanya ada beberapa ratus tontonan.
Tapi, video yang saya bercakap kata-kata puitis, dapat pula jumlah tontonan yang banyak.
Tak sampai satu hari dan mencecah tiga juta tontonan. Jadi, orang Malaysia sekarang mungkin jiwa mereka memberontak. Jadi, sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati mereka.
Man yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Zim Zim Ala Kazim, baru-baru ini, turut mengakui bahawa dia meluangkan masa satu hingga dua jam setiap hari untuk mencari dan berfikir mengenai kandungan yang sesuai.
Saya adalah artis sepenuh masa. Selepas Subuh, rutin saya selama sejam dua adalah untuk mencari kandungan sesuai untuk ‘meletup’ di TikTok.
Contohnya, sebelum ini badan saya gemuk, kemudian dalam masa tiga bulan saya lakukan transformasi menjadi kurus dan sado.
Waktu itu meletup sekejap. Waktu itu saya berlakon filem Ahmad Idham.
Penjagaan makan, saya ikut cara saya sendiri tanpa sebarang suntikan atau apa. Hari-hari saya main di gimnasium sampai badan menjadi. Badan sahaja menjadi, tapi muka sama.