Anak kepada pelakon terkenal Abby Abadi, Marrisa Dania Hakim, 19, baru-baru ini tampil menjelaskan tentang hubungannya dengan ibunya selepas dakwaan mengenai rahsia kematian bayi sulungnya pada Ogos lalu.
Dalam sebuah temubual, Marrisa menekankan bahawa dia tidak pernah mengenepikan ibunya dalam situasi sukar ini.
Marrisa mendedahkan bahawa suaminya, Ahmad Aslam, lebih selesa berinteraksi dengan bapanya, Norman Hakim.
“Mama tak tahu sebab Aslam lagi rapat dengan papa. Dengan papa sahaja Aslam maklumkan perkara ini.Bukan sebab saya ketepikan mama; hubungan saya dengan mama okay sahaja,” ujarnya.
Mengenai komen yang ditinggalkan di Instagram ibunya tentang mengapa Abby tidak membalas mesejnya, Marrisa menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk bergurau.
“Memang saya nak hubungi mama, tetapi niat saya ketika itu hanyalah nak bergurau,” katanya.
Bercerita tentang dugaan yang dilaluinya, Marrisa mengakui bahawa dia dan suami masih merasakan kesedihan selepas kehilangan bayi sulung mereka.
“Tentulah kami sedih kerana kehilangan anak, tapi kena kuatlah. Saya dan suami okay. Kami harungi dugaan ini bersama dan anggap tiada rezeki, nak buat macam mana?” tambahnya dengan tenang.
Marrisa yang juga isteri kedua Ahmad Aslam, mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, sebelum itu dilaporkan mengalami sakit perut yang menyebabkan dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Malangnya, anak sulung mereka meninggal dunia ketika dilahirkan dan dikebumikan sehari kemudian.