Drama ‘Lelaki Itu’ telah menjadi fenomena di Malaysia manakala runut bunyi drama ini yang berjudul Dulu Kini Dan Akhirnya nyanyian Marsha Milan turut mendapat perhatian ramai.
Terbaharu, Marsha sekali lagi memukau peminat dengan single terbaharunya iaitu Hening Rindu. Lagu ini turut menjadi runut bunyi bagi drama TV3, Aku Bukan Ustazah yang sedang bersiaran di slot Akasia.
Sambungan Dulu, Kini & Akhirnya
Hening Rindu merupakan sebuah lagu balada menggugat jiwa hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, manakala liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri.
Menurut Ikhwan, single tersebut adalah kerjasama pertama kali dijalinkan bersama penyanyi berasal dari Negeri di bawah bayu itu.
Vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu. Ini merupakan kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan Marsha adalah sangat-sangat hebat! Sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha untuk Hening Rindu.
Dalam pada itu, Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh berkata, dia amat berbesar hati kerana dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk runut bunyi sebuah drama.
Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang disampaikan. Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya.
Penyanyi berusia 38 tahun itu juga menyifatkan Hening Rindu adalah sebuah karya yang istimewa terutama pada jalan cerita muzik videonya.
Mendengar melodi Hening Rindu sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa.
Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden. Sebagai seorang penyanyi saya rasa ianya sentiasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan.
Untuk info, muzik video Hening Rindu adalah kesinambungan kepada Dulu, Kini dan Akhirnya. Penggambaran yang mengambil masa tiga hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza. Arahan Izuan Mokhtar, ia membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah.
Terdahulu, Dulu, Kini dan Akhirnya telah mencatat sebanyak 191 ribu tontonan di YouTube dan sekaligus menjadikan lagu tersebut trending di platform tersebut di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 Juta tontonan di aplikasi TikTok.