Pelakon dan pelawak, Azlee Scenario menceritakan perasaannya sewaktu diserang sakit jantung, baru-baru ini.
‘Tapi Allah sayangkan saya’
Ketika ditemui di tayangan perdana filem Saka Perawan di GSC, Starling Mall, Petaling Jaya, Azlee tau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, 57, berkata ketika itu, dia hanya mampu mengucap dan memohon keampuan daripada Allah SWT.
Saya dah pandang muka isteri, anak sulung. Fikiran teringatkan anak yang belajar di kolej di Melaka. Saya pun mengucap dan saya cakap ‘Ya Allah jika kau nak ambil nyawa aku, aku dah tak tahan sangat dan aku reda’.
Tapi Allah sayangkan saya dan doktor di IJN cakap lima minit lambat sampai, saya ‘pergi’.
Dalam pada itu, Azlee berkata ketika itu juga, dia sempat berpesan kepada isteri agar menjaga anak-anak sekiranya berlaku sesuatu kepada dirinya.
Cakap kat isteri ampunkan dosa saya. Meleleh air mata saya tapi saya bernasib baik kerana kejadian itu berlaku di rumah. Isteri dan anak-anak cepat bawa saya ke klinik. Alhamdulillah, saya dapat diselamatkan.
Azlee turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kesemua doktor dan pegawai perubatan yang banyak membantu merawatnya.
Selain Azlee, Saka Perawan turut dibintangi Yassin Senario, Datuk Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Jun ini.