Sejak kebelakangan ini, rata-rata artis tempatan dilihat menyatakan solidariti mereka terhadap Palestin dengan mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim tentera Israel.
Doa Meerqeen
Tidak ketinggalan, pelakon meningkat naik, Meerqeen menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story (IG), dia memanjatkan doa kepada saudara sesama Islam di sana.
Meerqeen atau nama lengkapnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam juga berharap agar bantuan yang disalurkannya sampai ke bumi bergolak itu.
Semoga semua pemberianku sampai pada semua yang ada di Palestin Ya Allah. Amin Ya Rabb. Itu sahaja yang saya boleh bantu dari jauh.
Ya Allah lindungi dan tolonglah saudara kami di Palestin. Kurniakan mereka kekuatan, kesihatan dan keselamatan. Berikanlah hidayah kepada para pemimpin. Sabarkan keluarga para pejuang dan jadikan wafat mereka sebagai syuhada.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu turut berharap agar semua doa-doanya kepada seluruh rakyat di Palestin dikabulkan Allah SWT.
Allahuakbar…Allahuakbar..Allahuakbar. Ya Allah tunjukkanlah kemukjizatan, qudrahMu. Balaslah pengorbanan, airmata, nyawa dan darah mereka di dunia dengan kemenangan di akhirat dengan syurgaMu.
Ya Allah Ya Ghafur, ampuni kami, maafkanlah kami yang tidak punya kemampuan membebaskan Masjidil Aqsa. Yang hanya mampu mempersembahkan sebuah doa.
Kabulkanlah doa kami dan harapan orang-orang Palestin, Amin Allahumma amin.
Terdahulu, susulan majlis Met Gala 2024 yang berlangsung pada hari yang sama Palestin di serang oleh tentera Israel, ramai pengguna media sosial melancarkan gerakan Blockout2024 dengan memboikot selebriti Hollywood yang tidak menyokong Palestin.
Difahamkan gerakan itu juga turut dilakukan oleh warganet di Malaysia. Mereka meluahkan rasa kecewa berikutan ramai artis tempatan yang menjadi wajah untuk beberapa jenama terkenal antarabangsa yang diboikot.
Warganet juga dilihat kesal berikutan selebriti-selebriti tersebut didakwa masih lagi giat mempromosikan barangan berkaitan dengan Israel.