Buat julung kalinya, Malaysia Airports bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan warisan budaya Malaysia yang berwarna-warni menerusi pameran tekstil. Bertemakan ‘Jalinan Aidilfitri: Pesona Kraf Tekstil’. Kempen kolaboratif ini meraikan keindahan rekaan tekstil tempatan yang berwarna-warni dan malar segar seperti Batik, Songket, dan Tenun oleh artis-artis tempatan yang menggambarkan sebuah perjalanan mengenali nadi dan jiwa Malaysia yang memukau.
Kempen yang bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bermula dari 16 Mac sehingga 15 Mei 2024 di semua lapangan terbang antarabangsa seluruh negara, selaras dengan komitmen Malaysia Airports untuk Menjalin Hubungan Ceria.
Di Terminal KLIA 1, para pengunjung akan disambut dengan tarikan utama yang menawan, Rumah Kampung Limas. Berdiri megah setinggi 24 kaki di Balai Pelepasan, Tingkat 5, karya agung ini dibina dan direka dengan teliti oleh Pembina tersohor, Masadan bin Mohsin.
Para pengunjung yang melawat tarikan ini boleh merasai sendiri keindahan tekstil Malaysia di setiap penjuru, dari alas meja, sarung kusyen sehinggalah barangan dekorasi berasaskan tekstil. Pengalaman ini bakal memberikan para pengunjung sekilas pandang tentang dunia budaya Malaysia yang berwarna-warni.
Para pengunjung berpeluang untuk mewarnakan cantingan batik yang ada di stesen mencanting batik di bahagian bawah rumah pameran. Para pengunjung juga boleh menghayati suasana perkampungan yang tenang di sekitar Rumah Kampung Limas, dengan anjung laman yang dilengkapi dengan peralatan menenun songket tradisional.
Di samping itu, pengunjung dapat menyaksikan sendiri proses penghasilan songket dan mempelajari teknik tenunan songket dengan lebih teliti. Kod QR yang terdapat di setiap kawasan pameran juga boleh diimbas dengan telefon pintar oleh pengunjung untuk melihat pemandangan memukau Wau batik terbang tinggi dengan latar belakang lapangan terbang.
Para pengunjung juga boleh meraikan semangat Hari Raya di Seloka Bazaar Raya Istimewa bertempat di Teminal 1 dan Terminal 2 KLIA. Bazar ini menampilkan pelbagai peniaga yang menawarkan busana, seni dan kraf berasaskan tekstil hasil ciptaan anak-anak tempatan.
Pelbagai aktiviti dan persembahan Hari Raya oleh Kraftangan Malaysia bakal menghiburkan para pengunjung sepanjang berlangsungya kempen tersebut. Tarikh-tarikh aktiviti dan persembahan ini bakal diumumkan di laman-laman media sosial rasmi Malaysia Airports.
Layari www.malaysiaairports.com.my untuk maklumat lanjut atau ikuti kami menerusi Instagram dan Facebook di @shopmyairports.