Pelakon Eyra Hazali meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak yang melemparkan kata-kata hinaan kepadanya dan keluarga.
Dihina
Eyra atau nama lengkap Hazirah Qasdina Hazali, 25, berkata, pihak tersebut mendoakan perkara yang tidak baik berlaku kepada suaminya, Haziq Nadzli.
Caci makian yang anda lemparkan, kami boleh terima. Tapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh dan melibatkan anak-anak adalah melampau.
Eyra berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story miliknya. Bagaimanapun aktres itu tidak mendedahkan secara terperinci kepada siapa perkongsian itu ditujukan.
Pun begitu, dipercayai kata-kata hinaan itu dilemparkan kepada Haziq disebabkan ada segelintir peminat bola sepak yang tidak berpuas hati apabila dia berada di kesebelasan utama perlawanan Malaysia menentang Thailand bagi Piala Mitsubishi Electric ASIAN yang akan berlangsung pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, ibu kepada tiga cahaya mata tersebut berdoa agar kata-kata tidak baik yang dilemparkan berbalik semula kepada mereka yang mendoakan.
Saya berdoa semoga doa-doa tidak baik itu berbalik pada keluarga anda.