Lagu ‘Alamak Raya Lagi’ yang dinyanyikan oleh kumpulan De Fam nampaknya, mendapat sambutan daripada netizen pada tahun ini.
Namun begitu, penyanyi nasyid yang juga penggiat industri seni, Cheb Ali Masrawi mempersoalkan mengenai kewajaran lagu tersebut.
Tanpa motif yang jelas
Memetik laporan Harian Metro, Cheb berkata, Alamak Raya Lagi! seolah-olah dihasilkan tanpa motif yang jelas.
Anak Melayu sendiri nyanyi lirik macam ini, apa mesej yang mereka nak sampaikan? Sepatutnya Alhamdulillah, bukan Alamak Raya Lagi!
Tambah Cheb, lirik lagu ini juga seakan menggambarkan anggota De Fam tidak melakukan persediaan untuk menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri.
Saya faham tak buat persediaan adalah idea utama lagu ini. Tapi, masalah utama yang saya nampak adalah lirik digunakan tidak sesuai dengan sambutan perayaan yang mulia macam seperti hari raya Aidilfitri.
Terutama, perkataan alamak itu. Penulis lirik sepatutnya merujuk kepada seorang yang cukup berpengalaman dan ‘aware’ (peka) dengan sensitiviti terhadap isu-isu tertentu.
Sekadar info, lagu tersebut sudah mencecah tontonan sebanyak 612,000 di platform YouTube dalam tempoh sebelas hari dilancarkan.