Pelakon Mimi Lana berkongsi tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut bersama keluarga tercinta pada tahun ini.
Raya bersederhana
Ketika ditemui Mimi atau nama sebenarnya Rozaiana Zainal Abidin berkata dia akan mengambil cuti untuk menyambut hari raya di kampung halamannya yang terletak di Taiping, Perak.
Paling istimewa bagi saya adalah masa bersama keluarga. Sebab kerjaya macam saya ni agak susah untuk balik ke kampung terutama bila komitmen penggambaran mengambil masa yang lama.
Bila dapat kumpul bersama keluarga, adik beradik dan saudara mara..semua itu adalah perkara yang paling berharga untuk saya.
Dalam pada itu, aktres berusia 29 tahun ini berkata dia menyambut lebaran secara sederhana namun lebih mengutamakan perbelanjaan untuk keluarga.
Saya sangat simple, baju raya setiap tahun sepasang sahaja. Saya rasa tak ada beza sangat macam orang lain sambut raya.
Saya berbelanja untuk keluarga, apa yang mereka nak buat mereka buat lah. Kerana bagi saya raya ini adalah tentang keluarga.
Mimi berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran drama First Wife di Putrajaya baru-baru ini.
Pelakon drama Perempuan Itu turut berkongsi tradisi keluarganya yang sering mengadakan rumah terbuka pada hari raya kedua.
Hari raya pertama saya memang akan bergaya sebab keluarga saya selalunya akan buat rumah terbuka pada hari raya kedua. Jadi hari raya pertama memang akan vogue sikit tapi raya kedua akan terus ke dapur.