Bekas model yang juga finalis pertandingan Miss Switzerland iaitu Kristina Joksimovic didakwa dibunuh dengan kejam oleh suaminya, Thomas.
Kepala dalam tong sampah
Memetik laporan The Independent, bapa mangsa memberitahu telah menemui kepala anak perempuannya itu di dalam tong sampah di bilik dobi kediaman pasangan itu, pada 13 Februari lalu.
Bercerita dengan lebih lanjut, lelaki ini memberitahu penemuan itu berlaku selepas dia dan isteri makan malam bersama menantunya, Thomas.
Tetapi apa yang membuatkan dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas menantunya itu seakan mengelak untuk memberitahu keberadaan Joksimovic.
Malah guru di sekolah juga ada menghubunginya memaklumkan Joksimovic tidak menjemput anaknya pulang. Namun apabila ditanya, Thomas memberitahu isterinya telah keluar rumah beberapa jam sebelum itu.
Susulan daripada penemuan mayat, suspek telah ditahan atas kesalahan membunuh. Walau bagaimanapun, suspek mendakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mempertahankan diri selepas mendakwa mangsa menyerangnya dengan pisau.
Laporan bedah siasat menunjukkan suspek telah mengerat mayat Joksimovic di dalam bilik dobi, dengan menggunakan gergaji, pisau dan gunting.
Bahagian badan kemudian dicincang dengan pengisar dan dilarutkan dengan bahan kimia.