Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu kota, pada malam Isnin.
Selamat bersalin
Berita gembira itu disahkan oleh wakil pengurusan penyanyi tersebut iaitu Nabila Razali Entertainment dan memaklumkan ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat.
Bayi seberat 3.1 kilogram itu adalah anak sulung Nabila hasil perkahwinan dengan suami, Nik Iruwan, 39, yang berlangsung pada 18 November tahun lalu.
Nabila, 32, atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali meluahkan rasa syukur selepas selamat bersalin.
Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya. Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan. Akhirnya Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan saya serta memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Nabila kini mengambil masa untuk memberi tumpuan kepada keluarga serta fasa baharu sebagai seorang ibu.