Penyanyi dan pelakon Nabila Razali masih aktif bekerja meskipun usia kandungannya kini sudah mencecah usia 8 bulan.
Masih aktif bekerja
Ketika ditemui , Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, dia pernah merancang untuk berehat seketika dan mengosongkan jadual kerjanya namun gagal berbuat demikian kerana sudah terbiasa bekerja.
Apa yang saya boleh cakap, ini semua rezeki dan saya tak boleh nak tolak. Sekarang ni walaupun usia kandungan dah cecah lapan bulan tapi AlhamdulIllah masih diberi tenaga untuk bekerja.
Mengikut perancangan, saya sepatutnya dah berehat dari kerjaya seni bulan lalu dan saya pun dah kosongkan jadual tetapi disebabkan saya seorang yang tak boleh duduk diam, saya memilih untuk terus bekerja.
Dalam pada itu, pelantun lagu Vroom Vroom ini meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami, Nik Iruwan yang sangat memahami. Meskipun tidak menghalang dirinya untuk terus bekerja tetapi lelaki itu sering menasihatinya agar menjaga diri dan kandungan.
Alhamdulillah, dia okay cuma dia pesan jaga diri elok-elok, jangan terlalu kerja berlebihan kerana nanti akan penat.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Lagu Kolaborasi bersama Bella Astillah berjudul CACACA yang berlangsung di Star Boulevard KLCC, pada Isnin.
Persiapan bayi hampir lengkap
Apabila ditanya mengenai persiapan sebelum melahirkan anak pertamanya, Nabila berkata dia sudah membeli barangan keperluan bayi dan hanya tinggal beberapa barang sahaja yang masih belum dibeli.
Sementara itu, Nabila akui gementar untuk melalui proses bersalin anak pertamanya pada Januari depan dan pada masa yang sama turut bertanya kepada mereka yang berpengalaman tentang tips sebelum melahirkan.
Nabila juga meminta orang ramai mendoakan agar urusannya untuk melahirkan bayi pertama dipermudahkan.
Terdahulu, Nabila memaklumkan dirinya sedang hamil anak pertama dan dijangka bakal bersalin pada awal tahun hadapan. Pada November, penyanyi itu mengumumkan jantina bayinya iaitu lelaki.
Untuk rekod, Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis di Bukit Tinggi, Pahang pada 18 November 2023.