Juara Masterchef Indonesia musim kelima, Stefani Harison teruk dikecam susulan mendakwa nasi kandar Malaysia rasa berpasir dan tidak asli.
Baru Membuka Kedai Makan
Stefani yang baru sahaja membuka kedai makannya di Tangerang, Indonesia cuba menjual nasi kandar dengan cara yang berbeza kerana sering mencuba hidangan tersebut ketika melancong ke Malaysia.
Dalam satu potongan video ketika seorang YouTuber datang ke restorannya, Stefani memberitahu nasi kandar di Malaysia kurang berperisa selain kuah hidangan tersebut juga dikatakan berpasir.
Disebabkan itu, Stefani mendakwa nasi kandarnya lebih sedap kerana menggunakan bahan-bahan masakan yang segar.
Rempah-ratus yang dimasukkan juga didakwa asli kerana dihasilkan sendiri secara manual dan bukannya serbuk kari seperti kebanyakan restoran nasi kandar di Malaysia gunakan.
Bukan itu sahaja, Stefani dengan yakinnya berasa sudah berjaya menghasilkan nasi kandar yang sebenar serta memenuhi citarasa ramai.
Menerima Komen Balas Dari Selebriti Dan Netizen
Susulan, potongan video tersebut telah tular sehingga mendapat perhatian rakyat Malaysia sehingga ramai yang mengecam juara Masterchef itu.
Kata mereka, kuah nasi kandar dijual Stefani tampak lebih cair daripada yang dijual di Malaysia serta menggunakan bahan luar daripada kebiasaan sekali gus menenggelamkan rasa asli hidangan itu.
Bukan itu sahaja, pelakon Noor Faezah Md Elai atau lebih dikenali sebagai Faezah Elai yang berasal dari Pulau Pinang turut membidas kenyataan yang diberikan oleh Stefani.
laaa sibat ni kata nasik kandaq Indonesia lagi sedap.. sel-sel lidah dia tak berhubung dah aku rasa ni..
Komen Faezah Elai, kenyataan yang diberikan oleh Stefani tersebut seolah-olah tidak benar sehingga dia mengatakan bahawa sel-sel lidah Juara Master Chef Indonesia ini seakan-akan tidak berhubung.