Sudah lama menahan sabar, penyanyi Naufal Azrin memberikan tempoh dua minggu kepada bekas pihak pengurusannya untuk melunaskan hutang yang masih tertunggak.
Hutang tertunggak
Menurut Naufal, dia sudah berusaha berhubung dengan pihak tersebut untuk berbincang, namun panggilan telefon tidak dijawab. Malah, dia mendakwa pihak berkenaan sering memberikan pelbagai alasan.
Kepada label lama saya, saya tidak suka buat benda ini sebenarnya. Nak viral-viral. Tetapi korang tak respon langsung panggilan saya.
Saya tidak kisah kalau orang lain yang kena macam saya, dah tak nak ambil peduli sama ada korang akan bayar duit mereka atau tidak. Tetapi saya peduli.
Bila saya minta untuk bayar, jangan bagi alasan tentang keluarga susah lah, sakit lah. Cara itu dah tak berfungsi dalam akal saya. Tak takut ke duit yang dirembat itu bagi makan dekat keluarga?
Naufal memaklumkan mengenai perkara itu menerusi hantaran di TikTok miliknya.
Pada hantaran sama, pelantun lagu Casablanca itu mendakwa ramai individu yang sudah menjadi mangsa pihak terbabit.
Tegasnya, dia tidak teragak-agak menggunakan cara ‘keras’ untuk memastikan kes berkenaan selesai.
Saya tak tahu berapa ramai yang kena macam saya ini. Tapi yang saya nampak, awak tak pernah kena hukuman atau apa-apa. Mungkin disebabkan itu, awak masih berani buat benda-benda bodoh ini.
Awak silap, sebab kali ini yang terkena saya. Sejujurnya, saya bukan jenis yang banyak cakap. Saya lebih suka menggunakan kekerasan kalau dah susah sangat. Tapi kalau buat begitu saya yang kena nanti. Jadi saya gunakan media sosial ini mana tahu ada orang yang boleh bantu.
Saya bagi masa dua minggu untuk kita jumpa dan selesaikan perkara ini. Kalau tak saya akan cari cara. Paling tidak awak akan ditangkap sebab rembat duit orang.