Baru-baru ini, pempengaruh Ubai MZ ada berkongsi satu ciapan di platform X mengenai sikap culas seorang bapa yang tidak membayar nafkah anak.
‘Saya sahaja tahu’
Susulan itu, terdapat segelintir netizen mendakwa perkongsian itu ditujukan kepada bekas suami Shila Amzah iaitu Haris Idraki.
Ketika dihubungi Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, bagaimanapun enggan mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan tersebut.
Jelasnya, dia sekadar berkongsi mengenai sikap seorang bapa yang tidak acuh dalam menjalankan tanggungjawab terhadap anak.
Saya cakap secara umum, tidak menujukan kepada mana-mana pihak. Tetapi hanya saya seorang sahaja yang tahu.
Saya sekadar berkongsi sahaja mengenai perkara itu. Mengenai dakwaan netizen, saya tidak akan mengiyakan mahupun menidakkan.
Ikut suka hati netizen nama siapa yang mereka nak petik.
Terdahulu, Ubai memuat naik ciapan berbentuk luahan rasa geram dengan sikap seorang individu yang tidak membayar nafkah sebanyak RM350 kepada anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri.
Malah, Ubai mendakwa individu terbabit bersikap lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada bekas isteri.
Sekadar info, Ubai mendirikan rumah tangga bersama Shila pada 5 Ogos 2023 selepas penyanyi itu berpisah dengan bekas suami, Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin.
Hasil perkongsian hidup, Shila dan Haris dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais.