Pelakon Niezam Zaidi memberitahu dia kini lebih berhati-hati dan mengambil iktibar selepas terlibat penyalahgunaan dadah pada Oktober 2021.
Artikel berkaitan: Niezam Zaidi Terkejut Dengan Keadaan Nonny Nadirah, Sifatkan Bekas Kekasih Wanita Baik – ‘Dia Suka Bersedekah, Jaga Keluarga’
Artikel berkaitan: Lebih Daripada 20 Orang Rakan Artis Beri Kata-Kata Semangat Buat Niezam Zaidi – ‘Ramai Di Belakang Hang Cha, Kita Atur Balik’
Tidak mahu menuding jari
Menurut Niezam, dia bersyukur masih menerima banyak sokongan dan diberi peluang untuk terus berlakon.
Saya bersyukur sebab kebanyakannya yang sokong saya, mereka tidak menilai daripada peribadi. Tapi, apabila saya tengok komen-komen netizen, ia buat saya rasa tidak kuat juga.
Bagaimanapun, saya gembira dan terharu juga apabila pihak stesen TV seperti TV3 sendiri meminta agar saya jangan risau sebab mereka tidak pernah ‘banned’ saya. Terus-terang, bergenang juga air mata saya dibuatnya.
Tapi, saya okay saja sebab saya cakap pada mereka, tak apalah kalau nak ‘banned’ pun asalkan Allah tidak ‘banned’ saya.
Niezam berkata demikian semasa ditemui di sesi fotografi drama terbaru TV3 di slot Akasia berjudul Hai Cinta, Dengarkanlah yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Niezam juga tidak mahu menuding jari kepada rakan-rakan di sekelilingnya dan mengambil perkara tersebut sebagai pengajaran.
Saya tidak pernah salahkan orang sekeliling dan saya tidak salahkan apa-apa pun sebab itu semua adalah hikmah yang saya dapat merasakan ‘sesuatu’ antara saya dan Allah saja tahu. Ia juga pengajaran untuk saya dan mungkin kepada semua orang juga.
Kenang jasa bapa
Berkongsi tentang pengalaman ditahan selama tiga hari dua malam di lokap, Niezam berkata, keluarga terutama bapanya sentiasa ada bersama dengannya.
Selain Allah yang ada bersama-sama dengan saya, keluarga iaitu papa, Mohd Zaidi Othman, 66, sentiasa di sisi walaupun ketika di mahkamah, dia bawakan baju tebal tak mahu saya rasa sejuk.
Saya ada mohon maaf pada papa dan beritahu dia saya lambat balik (ketika ditahan polis). Papa okay dan dia boleh saya sifatkan sebagai ‘partner’ dan ‘best friend’ yang sangat memahami dan menyayangi saya.
Pada 10 Januari 2022, Niezam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak dan perlu menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Terdahulu, Niezam bersama dua lagi individu lain iaitu Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin mengaku bersalah memiliki barangan terlarang selepas ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Kuala Kangsar.