Seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Nizarazddin tidak ketinggalan menghadiri hari terakhir sesi uji bakat Calpis Soda One In A Million di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak, semalam.
Mahu bantu ibu
Nizarazddin atau nama penuhnya Muhammad Nizammudin Abdul Razak, berkata, tujuan utama beliau hadir ke uji bakat adalah untuk membantu ibunya.
Saya datang daripada broken family. Saya tidak mempunyai ayah, dan ibu saya kini menjaga ibu kandungnya. Abang saya pula tidak dapat dihubungi. Jadi, saya adalah satu-satunya anak yang berusaha keras untuk membantu ibu saya, kerana tiada lagi lelaki dalam keluarga yang boleh diharapkan.
Beliau juga menceritakan keadaan dirinya yang sedang bergelut dengan serangan panik sejak kehilangan bapa dan neneknya, ditambah pula dengan kesukaran akibat pandemik COVID-19.
Saya sebenarnya seorang yang sangat pendiam dan tidak begitu pandai berbual ketika mula-mula menyertai live band. Saya terpaksa menghadapi tekanan untuk bergaul dan bercakap dengan orang lain. Daripada situ, saya cuba berubah dan masih berusaha untuk mengatasinya. Dalam proses ini, saya boleh kata saya alami keguguran rambut, dan serangan panik itu akan datang tanpa amaran, secara tiba-tiba.
Bagi mengatasi serangan panik yang dihadapinya, beliau berkata, “Saya melawan perkara itu dengan kekuatan dalam diri saya, serta melalui nyanyian yang membantu menghilangkan rasa gugup, takut, dan panik. Keluarga saya sentiasa berada di sisi saya sepanjang tempoh itu, sentiasa menyokong apabila saya menyertai pertandingan.
Tidak ketinggalan juga peminat-peminat saya, yang menjadi sumber kekuatan dan semangat saya hingga ke hari ini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai karier nyanyiannya, beliau kini aktif dengan aktiviti live band dan telah menyertai beberapa pertandingan serta uji bakat.
Saya sudah menjalankan aktiviti live band selama tiga tahun. Saya juga pernah menyertai pertandingan duet bersama Jaclyn Victor dan menjadi wakil Sarawak untuk menyanyi bersamanya di sini. Program seperti Mentor dan I Can See Your Voice merupakan antara uji bakat yang saya sertai.
Mengulas perasaannya apabila berjaya memegang papan tanda tahniah yang diidami, beliau berkata, “Alhamdulillah, saya sangat gembira. Kejayaan ini saya dedikasikan untuk ibu saya, keluarga saya, dan juga untuk diri saya sendiri.”