Pelakon Nora Danish tidak berasa risau sekiranya tawaran lakonan semakin berkurang susulan imejnya yang kini sudah berhijab.
Rezeki Allah
Ketika ditemui , pemilik nama lengkap Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata, dia meletakkan soal rezeki kepada Sang Pencipta dan percaya industri tempatan kini semakin terbuka meraikan selebriti bertudung.
Saya tidak pernah berfikir soal rezeki akan berkurang disebabkan saya sudah bertudung. Saya percaya industri Malaysia sudah semakin terbuka dan menerima ramai artis berhijab.
Sewaktu sebelum saya nak mula bertudung pun, saya sudah tidak buat adegan bersentuhan. Pengarah dan team juga faham.
Nora berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Perang Nasi Dagang yang berlangsung di Stor Theater, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, disoal adakah sudah tidak memikirkan tentang populariti, Nora terus mengiyakan.
Betul (tidak mahu fikir tentang populariti), di usia begini (42 tahun) Allah bagi rezeki yang tidak putus untuk saya, syukur alhamdulillah.
Allah sudah bagi macam-macam kepada saya, tidak berharapkan apa-apa lagi. Mahu ketenangan dan bahagia sahaja.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini meminta orang ramai mendoakannya agar terus istiqamah.
Saya akan banyakkan berdoa, ramai yang kata mereka mendoakan saya terus istiqamah dengan imej bertudung.
Sebab saya sebelum ini lihat beberapa rakan artis yang ‘tewas’ (tanggal tudung), saya amat memahami keadaan mereka.
Untuk buat kebaikan memang banyak dugaan untuk tempuhi. Harap semua doakan saya istiqamah.