Penyanyi berpengalaman, Noraniza Idris kesal namanya menjadi buruk susulan tularnya dakwaan dirinya memecat pengarah persembahan dan penulis skrip bagi konsert Qalam Noraniza Idris iaitu Anwar Rusdini.
Nafi pecat Anwar
Walau bagaimanapun, Noraniza menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Anwar sendiri yang menarik diri dan meninggalkan ‘group’ WhatsApp secara tiba-tiba.
Dia tidak profesional, tidak sepatutnya isu ini dia sebarkan dalam media sosial, seharusnya jumpa saya secara berdepan.
Apapun saya tidak meletakkan harapan agar dia tampil berbincang masalah ini. Dia yang buat keputusan untuk tarik diri jadi, terpulang kepada dia jika hendak selesaikan hal ini.
Paling mengecewakan apabila dia memilih untuk selesaikan hal ini di media sosial. Itu ibarat memfitnah.
Dia kena hentikan tindakan memburukkan saya, bukan sahaja di media sosial, tapi juga kepada orang-orang yang dekat dengan saya.
Noraniza berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Keretapi Sarong 2024 yang diadakan di TGV Pavillion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Jualan tiket terjejas
Dalam pada itu, Ratu Irama Malaysia ini juga mengakui jualan tiket konsertnya itu terjejas selama tiga hari gara-gara kontroversi tersebut.
Lebih parah, dia juga berdepan dengan kecaman negatif dalam media sosial.
Reputasi saya terjejas apabila isu ini disebarkan sehingga jualan tiket konsert saya terkesan selama tiga hari.
Orang tuduh saya jahat. Agak teruk juga makian dan kecaman yang diterima ketika saya bersiaran langsung di TikTok. Orang yang hormat kita terus berubah sikap mereka.
Kalau ikutkan hati, memang saya ingin maafkan sahaja. Tetapi jika saya terus berdiam, orang akan berulang kali ambil kesempatan.
Saya sedang berbincang dengan keluarga tentang isu ini, jadi tunggu sahajalah.
Sebelum ini, Noraniza menjadi bualan apabila timbulnya dakwaan dirinya memecat Anwar yang sebelum ini bertindak sebagai pengarah persembahan bagi konsert yang akan diadakan pada 27 sehingga 29 September ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Sementara itu, Noraniza bakal membuat penampilan istimewa sewaktu program Keretapi Sarong yang bakal berlangsung pada 14 September ini di sekitar Lembah Klang.
Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob juga akan diadakan serentak di enam lokasi terpilih seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam dan Alor Setar.