Setiap tahun pasti kita dibanjiri dengan konsert-konsert dari barisan artis tanah air mahupun antarabangsa yang menjadi fenomena.
Sebelum masuk ke tahun 2025, jom tengok senarai kejayaan konsert mega sepanjang tahun ini.
1. Mahalini Lovechestra
Pada 3 Februari lalu, konsert Lovechestra Mahalini telah berlangsung dengan meriahnya di Megastar Arena, Sungei Wang.
Sepanjang 2 jam konsert berlangsung, para penonton dipersembahkan dengan hampir 16 buah lagu serta diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.
Malam penuh momen itu turut diserikan dengan bintang tamu, Rizky Febian, dengan kemunculannya di pentas konsert Lovechestra.
2. Ziana Zain
Diva terulung Malaysia adalah ungkapan yang sesuai untuk diungkapkan bagi penyanyi lagenda bernama Ziana Zain dengan kejayaan Ziana Zain Konsert 2024 yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang, pada 25 Mei tahun ini.
Dengan kehadiran 5,000 peminat menjadikan malam konsert itu lebih hangat sekali gus menjadi memori terindah buat penonton.
Konsert yang dibawakan oleh CSA Academy ini berlangsung selama dua jam dengan 20 buah untaian lagu hits miliknya.
3. Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi
Penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw mengegarkan pentas Axiata Arena Bukit Jalil dengan konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi pada 1 Jun tahun ini.
Melly membawakan konsep ‘Malam Graduasi’ bersama Anto Hoed yang dibawakan oleh AKE Group yang merealisasikan sekali lagi projek mega konsert dari Iman Tang (Icon Entertainment).
4. New Boyz 25th Anniversary
Pada 13 Julai tahun ini, Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur telah berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena ulang tahun yang ke 25 kumpulan ini menapak nama dalam industri.
Dibanjir hampir 3,000 penonton, New Boyz menggegarkan Dewan Plenari dengan mempersembahkan 28 buah lagu mengimbau kenangan dari album pertama hingga keenam.
5. Konsert Awie Journey
Konsert Awie Journey yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 3 Ogos lalu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat rock dan rakan-rakan selebriti yang turut hadir.
Penyanyi rock lagenda itu menyajikan lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan daripada album-album kompilasi beliau.
Konsert bersejarah ini meninggalkan kesan kepada penonton dengan kelunakan suara Awie di kala usianya yang sudah mencecah 56 tahun.
6. Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia
Ratu rock negara, Ella melakar sejarah dengan persembahan memukau di Plenary Hall, KLCC pada 9 Ogos yang telah mengumpulkan seramai 3,o00 peminat.
Sebanyak 32 buah lagu yang disajikan pada tiga jam konsert tersebut.
Pembukaan tirai konsert dimulakan dengan lagu ‘Dua Insan Bercinta’ sekali gus membuktikan vokalnya yang masih berbisa.
7. Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur
Gabungan suara penyanyi terkenal Indonesia, Afgan dengan Juara Indonesian Idol musim ke-10 pada 2020, Lyodra ‘menghayutkan’ penonton yang hadir ke Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 September.
Pada malam yang disaksikan ribuan penonton, Afgan dan Lyodra mempersembahkan 20 lagu hits seperti Kamu Yang Ku Tunggu, Tak Dianggap, Sang Dewi, Untukmu Aku Bertahan, Jodoh Pasti Bertemu, Bawalah Cintaku dan Ada.
Konsert ini merupakan anjuran daripada Kharisma Music (KM) bersama jenama kosmetik, Alha Alfa, dengan Intan Gelombang dan Futurace.
8. M N45ir Cipta 2
Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M Nasir mencipta sejarah pada malam konsert M N45ir Cipta 2 dengan kejutan menerbangkan 10,000 sampul duit raya yang berisi duit RM1 dari bumbung stadium Axiata Arena.
Di malam konsert tersebut, M. Nasir telah menyanyikan 32 buah lagu popular yang dihasilkannya dari pelbagai genre muzik dengan kehadiran penonton seramai 8,000 orang.
Konsert lagenda ini turut dihadiri beberapa barisan selebriti tempatan seperti kumpulan Wings, kumpulan Spider, Lah Ahmad, Dato Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy dan ramai lagi.
9. First Solo Concert 2024: Jaclyn Victor
Buat julung kalinya, penyanyi Jaclyn Victor mengadakan konsert solonya di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober.
Malam momen itu disajikan dengan lebih daripada 24 buah lagu oleh juara program Malaysian Idol musim pertama pada tahun 2004.
Selain 3 Suara, Jac turut menjemput Hael Husaini dan Siti Nordiana sebagai artis undangan pada malam istimewa itu.
10. Taeyang 2024 Tour: The Light Year In Kuala Lumpur
Penyanyi sensasi Korea Selatan, Taeyang menambat hati peminat yang hadir pada malam konsert itu dengan persembahannya yang memukau di Axiata Arena Bukit Jalil.
Pada malam 7 Disember itu, Taeyang memberi kejutan kepada peminat dengan mendendangkan sebuah lagu nyanyian Datuk Shiela Majid.
11. The Journey Of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza
Konsert yang menjadi malam istimewa buat penyanyi hebat Indonesia, Judika dan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan kehadiran seramai 24,000 penonton di Stadium Merdeka.
Malam yang penuh momen ini bertemakan putih dan denim dengan lebih 30 buah lagu secara solo, duet dan medley disajikan buat penonton.
Penyanyi Faizal Tahir juga menghadiri konsert ini sebagai pembuka tirai dengan tiga buah lagu nyanyiannya iaitu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Santai dan OK.
Apa yang lebih menarik, kedua-dua penyanyi hebat ini diarak memasuki perkarangan stadium dengan menaiki kereta GTR yang membuatkan ramai terpukau.