Pemain badminton beregu campuran negara, Chen Tang Jie memohon maaf kerana gagal melangkah ke peringkat separuh akhir di pentas sukan Olimpik Paris 2024.
Bukan pengakhiran
Menerusi hantaran di TikTok, Chen Tang Jie mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, penyokong dan pasukannya yang tidak putus memberikan sokongan serta mendoakan kejayaannya.
Saya benar-benar minta maaf kerana tidak maju lebih lama dalam Sukan Olimpik, tetapi saya berjanji untuk kembali lebih kuat.
Terima kasih kepada pasukan saya yang luar biasa, rakan regu dan anda semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini.
Kepercayaan anda kepada saya menyemarakkan keazaman saya.
Menerusi hantaran sama, Chen Tang Jie berkata, kekalahan tersebut bukan satu pengakhiran, sebaliknya dia akan kembali bangkit semula pada kejohanan akan datang.
Ini bukan penamat, hanya permulaan kemunculan semula saya. Mari kita sasarkan kehebatan bersama-sama!
Sementara itu, rata-rata wargamaya yang singgah ke ruangan balas meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Chen Tang Jie di pentas sukan Olimpik pada eidisi kali ini.
Terdahulu, pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Korea Selatan pada peringkat suku akhir dengan mata 19-21, 14-21.