Pelawak dan usahawan Shuib menasihati orang ramai agar tidak mengganggu tugas pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pasangan pempengaruh yang ditahan reman berhubung kes salah guna kuasa.
‘Doakan yang baik’
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad sebaliknya meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuk pasangan tersebut.
Biar pihak berwajib yang jalankan kerja. Kita doa yang baik-baik sahaja.
Shuib berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu turut memuat naik semula posting sebuah portal berhubung tahanan reman yang dikeluarkan mahkamah kepada pasangan berkenaan.
Sementara itu, Shuib turut mendoakan segala urusan dua pempengaruh terbabit dipermudahkan.
Semoga dipermudahkan.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang juga pempengaruh Islamik ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengenai salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Perintah tahanan reman yang bermula Khamis sehingga 14 Julai itu dikeluarkan Hakim Majistret Irza Zulaikha Rohainuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Menurut peguam yang mewakili pempengaruh berkenaan, Abd Rahim Ali, dua anak guamnya direman di bawah Sesyen 23 Akta SPRM.