Pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Shamsuri Shafie dan Rosnaida Ismail selamat menimang cahaya mata ke-12 mereka sekitar jam 3.43 petang Isnin.
Timang anak ke-12
Memetik laporan Harian Metro, Shamsuri meluahkan rasa syukur kerana masih dikurniakan lagi rezeki untuk menimang cahaya mata dan berasa sangat lega kerana urusan isterinya untuk melahirkan anak dipermudah.
Menurut Shamsuri, dia dan isteri dikurniakan anak lelaki namun masih belum memberi nama kepada bayi mereka itu.
Alhamdulillah, perasaan sangat teruja dan bersyukur kerana Allah SWT permudahkan urusan kehamilan isteri yang tidak alami alahan sehingga dia selamat bersalin.
Sebenarnya, bukan hanya saya dan isteri malah anak lain pun teruja dapat adik baru.
Sebagai suami, saya ucapkan terima kasih kepada isteri atas pengorbanannya melahirkan cahaya mata kami.
Sukar nak mencari seorang isteri yang tabah, penyayang, tenang serta bertanggungjawab sepertinya malah dia adalah tulang belakang serta penguat semangat saya.
Dalam pada itu, pengamal perubatan yang berusia 39 tahun ini memaklumkan dirinya tidak menolak jika dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata lagi pada masa akan datang.
Jika ada rezeki, saya nak lagi kerana anak pun anugerah Allah SWT.
Anak pun pembawa rezeki dan menjadi penguat hubungan serta pengikat kasih sayang dengan isteri sepanjang 19 tahun kami berumah tangga.
Terdahulu, kisah hidup Shamsuri dan isterinya pernah tular di TikTok dan meraih perhatian wargamaya kerana dikurniakan 11 cahaya mata terdiri daripada enam lelaki serta lima perempuan.