Pemain badminton beregu campuran China, Huang Yaqiong berjaya merangkul pingat emas bagi acara tersebut di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Selain meraih pingat emas, Huang turut menerima kejutan yang sangat istimewa apabila dilamar secara ‘live’ oleh kekasihnya sejurus meraikan kemenangan. Tahniah!
Melutut beri cincin
Menerusi laporan Olympics.com, Huang bersama gandingannya Zheng Siwei meraih pingat emas pertama sukan itu selepas mereka menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-8, 21-11 dalam aksi di La Chapelle Arena.
Selepas menerima pingat, Huang dan Zheng kemudian turun dari podium untuk meraikan kejayaan mereka dengan penyokong di luar gelanggang.
Bagaimanapun Huang dikejutkan dengan kemunculan teman lelakinya, Liu Yuchen, yang memegang sejambak bunga untuk dihadiahkan sempena kemenangannya.
Selepas menyerahkan Huang sejambak bunga, Yuchen dilihat mengeluarkan cincin dan melutut di hadapan Huang, sekali gus mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong China yang menyaksikan babak romantik pasangan tersebut.
Menurut Huang, dia tidak menyangka teman lelakinya akan membuat kejutan seperti itu.
Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya kerana terlalu gembira. Saya memberi fokus kepada latihan untuk bergelar juara Olimpik dan dikejutkan pula dengan cincin pertunangan. Saya tidak pernah menjangkakannya.