Umum mengetahui, pelantun suara ‘Gelisah Mimpi’ iaitu Liza Hanim telah berjaya melakukan konsert solonya di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kejayaan tersebut merupakan pencapaian yang luar biasa buat dirinya apatah lagi sudah 27 tahun berada di dalam industri seni.
Dapat permintaan
Terbaru, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, memberitahu dia bakal meneruskan konsert skala besar itu ke Singapura pada tahun ini.
Alhamdulillah, pihak kami mendapat permintaan dari ramai peminat di sana untuk mengadakan konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert ini ke Singapura pula. Semuanya masih dalam proses perbincangan. Sekiranya berjalan lancar, konsert itu akan berlangsung sama ada pada bulan Jun, Julai atau pada Ogos nanti.
Disoal mengenai pemilihan lagu dan konsep untuk persembahan di Singapura, Liza berkata, dia akan mengurangkan jumlah lagu dari 34 kepada 20 lagu sahaja untuk durasi dua jam berkenaan.
Selalunya untuk konsert dua jam tanpa henti, 20 lagu disampaikan dan paling banyak pun 22 lagu sahaja. Dari segi pemilihan hari pula, kalau boleh jangan buat konsert pada Ahad kerana peminat dari luar seperti Singapura susah untuk ambil cuti.
Berbicara mengenai tahap kesihatan, anak jati Klang, Selangor ini mengakui bahawa dia belum pulih seratus peratus dan masih mengambil ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.
Sebagai penyanyi dikenali dengan lagu bernada tinggi, saya percaya mampu buat persembahan lebih bagus dalam konsert jika tidak berdepan masalah kesihatan, tetapi takdir sudah tertulis. Apa yang berlaku sungguh menakutkan kerana saya tidak boleh menyanyi lima hari sebelum konsert yang lalu kerana sakit.
Sekadar info, Liza Hanim baru melancarkan single terbaharunya berjudul Takdir Itu Milik Aku. Lagu tersebut merupakan runut bunyi (OST) drama lakonan Shaheizy Sam dan Emma Maembong untuk sebuah stesen televisyen.