Gara-gara kemurungan selepas dua tahun tidak mendapat sebarang pekerjaan, seorang lelaki di Indonesia bertindak menggantung dirinya sehingga mati.
Dua tahun tak ada kerja
Menerusi laporan Detik, mayat lelaki yang dikenali sebagai HD itu ditemui oleh ibunya sendiri di rumah mereka yang terletak di Kecamatan Candi, Sidoarjo pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Candi Pesuruhjaya Eka Aggriana, ibu mangsa berasa pelik dengan tindakan anaknya yang menutup pintu bilik setibanya mereka pulang ke rumah.
Kebiasaannya mangsa yang sering membuka pintu ketika ibu bapanya pulang kerja. Tetapi pada hari kejadian, tiada siapa yang membukanya.
Ibu bapa HD kemudian bertindak memecahkan pintu bilik dan alangkah terkejutnya mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dalam keadaan badannya tergantung.
Mereka dengan pantasnya memotong tali gantung berkenaan dan membawa HD ke ruang tamu namun sayang, anak mereka sudah pun meninggal dunia.
Dalam pada itu, hasil siasatan pihak polis mendapati bahawa HD berbuat demikian kerana mengalami kemurungan selepas dua tahun menganggur.
Daripada cerita orang tuanya, difahamkan, mangsa sudah dua tahun menamatkan pelajaran di sebuah Universiti dan selama itu dia langsung tidak mendapat pekerjaan.
Sebenarnya pihak keluarga sudah berusaha untuk mencarikan pekerjaan untuknya, tetapi sehingga saat ini mangsa masih belum mendapatkannya.
Mayat HD kini berada di Hospital Bhayangkara Porong bagi tujuan bedah siasat.